Like Us on FB

Thursday, 23 April 2015

[TIPS MELANCONG]


Elakkan Beg Terlebih Muatan
Membawa barang yang banyak terutama ketika melancong dalam tempoh lama sememangnya perkara biasa.
Pasti banyak barang yang perlu di bawa bagi memenuhi segala keperluan sepanjang melancong.
Bagaimanapun, barang yang banyak menuntut anda membawa beg besar atau banyak sekali gus membuatkan ia terlebih muatan.
Bagi mengelakkan situasi itu, anda perlu memilih barangan yang dibawa benar-benar keperluan ketika melancong.
Ada juga situasi selepas mengemas didapati beg yang bakal dibawa besar dan sangat padat walaupun anda sudah meminimumkan barangan yang dibawa.
Perkara ini biasanya terjadi disebabkan cara penyusunan barang.
Oleh itu, tip mengemas beg secara praktikal ini mungkin boleh membantu anda sekali gus meringankan beg yang bakal dibawa.
* Pertama, ketika meletakkan pakaian dalam beg, gulung terlebih dulu pakaian itu. Selain dapat menjimatkan ruang, pakaian yang digulung juga dapat mengurangkan kedut pada baju anda.
Bagi pakaian jenis kapas yang ringan dan nipis, anda boleh menggulungnya sekecil mungkin.
* Kedua, letakkan barang yang paling berat di bahagian bawah beg supaya bebanan tidak terlalu berat dan beg juga lebih seimbang. Kemudian diikuti dengan barangan lain.
Perlu diingat, untuk membawa barang seperti komputer riba atau kamera, pastikan anda meletakkannya terlebih dulu ke dalam bekas yang tahan lasak sebelum memasukkannya ke dalam beg pakaian anda.
* Ketiga, jika membawa kelengkapan peribadi seperti syampu, sabun, tuala dan ubat gigi, pastikan anda membawanya dalam botol atau saiz yang kecil.
Selain dapat menjimatkan pemakaian, tentunya menjimatkan ruang dalam beg anda.
* Keempat, sediakan beg plastik untuk menyimpan pakaian kotor supaya ia dapat diasingkan daripada pakaian bersih. Situasi itu berlaku jika anda bercuti di pulau atau kawasan pantai.
Justeru dengan adanya beg plastik, baju anda yang masih bersih boleh diselamatkan daripada kotor, basah atau berbau peluh.
* Kelima, asingkan barang yang amat penting seperti dompet atau pasport ke dalam beg kecil bagi memudahkan anda mengambilnya ketika diperlukan. Anda tidak perlu lagi menyelongkar beg yang berisi pakaian dan barangan lain.
* Keenam, jika membawa kasut lebih, bungkus saja ia dengan plastik supaya menjimatkan ruang. Apabila membawa bantal pula, bawalah bantal tiup yang ringan dan praktikal.
Pastikan juga ketika anda pergi dan pulang dari bercuti anda memakai pakaian yang mengambil ruang penyimpanan yang banyak atau berat seperti jaket dan seluar jeans.
Langkah itu boleh meringankan beban barangan yang dibawa ketika pergi melancong.

No comments:

Post a Comment