MENJEMPUT KEBERKATAN DALAM PERKAHWINAN
Bagi pasangan yang bakal berumahtangga, semestinya hari yang bersejarah ini dinantikan dengan penuh debaran. Segala perancangan untuk hari tersebut pastinya disusun rapi. Namun, dalam kita sibuk menyusun perancangan untuk hari bahagia ini, usah dilupakan pula aspek keberkatan agar majlis pernikahan ini diredai oleh Allah. Jadi persoalannya, bagaimana dapat kita peroleh keberkatan dalam perkahwinan serta mendapat keredaan-Nya? Bagi menjawab persoalan ini, saya kongsikan keprihatinan saya kepada bakal mempelai supaya dapat kita renungkan bersama. Elakkan mana yang sepatutnya dielakkan. Yang perlu diberikan tumpuan, berikan keutamaan padanya.
1. FOTO ALA SUAMI ISTERI
Amalan berfoto bersama sebelum nikah semakin berleluasa dalam kalangan pengantin Melayu-Islam. Seolah-olahnya foto pra-perkahwinan untuk album tatapan hadirin pada majlis persandingan sudah menjadi trend yang sukar disekat.
Tidak cukup sekadar album, kita dapati pula kad jemputan walimah juga berlatar gambar mempelai bersama lengkap dengan busana pengantin!
Oleh itu, suka untuk saya mengingatkan agar pasangan mempelai dapat bersabar sehinggalah selepas diijabkabulkan. Bak kata pepatah: “ Takkan lari gunung dikejar!” Selepas diijabkalulkan, bergambarlah sebanyak mana pun kerana anda dan pasangan sudah rasmi sebagai suami isteri.
Sebagai alternatif, bolehlah sesi foto tersebut diadakan sejurus selepas bernikah, dengan majlis walimah diadakan beberapa minggu atau hari selepas itu.
2. PAKAIAN
Memilih pakaian untuk hari pernikahan pastinya merupakan saat yang paling menguja bagi sebilangan besar mempelai khususnya pengantin wanita. Maklumlah pengantin lelaki biasanya tidak cerewet. Berbaju Melayu, bersamping serta bertanjak atau bersongkok sahaja sudah cukup untuk menampilkan ketampanan. Tidak salah untuk ingin kelihatan anggun, tetapi janganlah melampaui batas sehingga pakaian yang dipilih menampakkan bentuk tubuh badan. Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan dalam memantau pakaian yang dipilih oleh anak perempuan mereka.
Yang lebih menyedihkan, kadangkala ia berlaku pada pasangan yang biasanya cukup sopan pada hari biasa, tetapi tidak pada hari pernikahan. Usahlah kita menggadaikan prinsip yang selama ini kita pegang semata-mata untuk bergelar raja dan permaisuri sehari.
3. KHUTBAH NIKAH
Saat yang paling penting ketika majlis akad nikah ialah ketika khutbah nikah dibacakan oleh tuan kadi. Ketika itu, jurunikah akan menerangkan peranan dan tanggungjawab bakal suami dan isteri dalam mengharungi kehidupan berumahtangga.
Sering saat yang seharusnya hening dan sepi ini ditenggelami oleh hilaian tawa riang hadirin, sembang antara tetamu serta deringan telefon pengunjung majlis. Ini tidak termasuk dengan keadaan sesetengah pengantin wanita yang tidak mengambil kisah untuk mendengarkan khutbah, tetapi berbual pula dengan teman-teman atau pengandam mereka. Berdasarkan pengalaman saya sebagai bekas naib kadi, adalah baik sekiranya pengantin wanita dapat duduk berdekatan dengan tempat akad nikah agar mempelai dapat menyaksikan sendiri majlis akad nikah berlangsung. Selain itu, ia akan lebih fokus mendengarkan kandungan khutbah nikah yang dibacakan kadi.
Hal ini demikian kerana selain mengingatkan tangungjawab seorang suami isteri, jurunikah juga biasanya akan turut sama meminta pihak pengantin lelaki membacakan lafaz taklik sesudah akad nikah berlangsung.
Kandungan lafaz taklik ini sangat penting, kerana padanya terkandung hak-hak isteri jika pihak suami tidak melaksanakan tanggungjawabnya pada tempoh masa tertentu.
4. LAFAZ AKAD NIKAH
Kerap terjadi lafaz penerimaan nikah pengantin lelaki yang berjaya diungkapkan dengan sempurna disambut dengan tawa riang. Kadangkala diiringi dengan tepuk tangan dan sorakan tetamu khususnya daripada teman dan sahabat handai pengantin lelaki.
Ingatlah, di sebalik kejayaan lafaz penerimaan nikah, tersimpul tanggungjawab baru yang amat berat dipikul oleh pengantin lelaki yang diambil alih daripada wali pengantin perempuan. Apalah ertinya membanggakan kejayaan melafazkan sekali akad, andainya hayat rumahtangga selepas itu hanya seketika sahaja.
Alangkah baiknya jika kegembiraan tersebut diiringi dengan ucapan kesyukuran dan pujian kepada Yang Maha Esa. Ditambah pula dengan iringan doa para tetamu kepada kedua mempelai utnuk menjemput keberkatan dan keselamatan dalam rumah tangga yang didirikan.
5. SOLAT
Suka diingatkan dalam keadaan kita sibuk bergambar dan bertukar-tukar pakaian ketika menjadi raja sehari. Tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim dan Muslimah usahlah pula dilupakan sama sekali. Janganlah sekali-sekali kita meninggalkan atau mengqada solat lantaran kesibukan majlis atau kesulitan membersihkan solekan. Malah, jadikanlah hari pernikahan kita sebagai satu permulaan untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan agar kita sentiasa memperoleh rahmat Allah.
Oleh yang demikian, setiap bakal pasangan suami isteri perlu merancang dengan teliti majlis pernikahan mereka, agar perjalanan majlis tetap dalam ketaatan kepada Yang Maha Esa. Diharapkan segala peringatna ini dapat dijadikan antara senarai petunjuk penting sebagai tambahan kepada persediaan majlis pernikahan yang sedia ada. Saya mendoakan semoga semua majlis pernikahan yang dijalankan nanti bukan sahaja meriah, malah diberkati Allah juga.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment