Like Us on FB

Tuesday, 21 April 2015

[TIPS KEWANGAN]


CARA MUDAH MENJIMATKAN WANG
IDEA menyimpan wang mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak biarpun faedahnya besar dan nyata. Ini berikutan daripada tuntutan menggunakan wang untuk aktiviti lain yang tidak kurang pentingnya seperti membayar bil dan sebagainya. Namun begitu, ia tidak patut dijadikan alasan kerana menyimpan wang adalah aktiviti mudah yang boleh dilakukan jika anda mempunyai keazaman yang tinggi dan secara sukarela mengikuti cadangan-cadangan berikut:
1. Tetapkan objektif penyimpanan

Seperti merangka bajet, kita juga mesti menetapkan objektif mengapa perlu menyimpan wang. Ini penting untuk memastikan kesinambungan aktiviti penyimpanan sehingga apa yang diidamkan tercapai. Antara objektif penyimpanan yang munasabah ialah:
· Membeli hadiah harijadi/perkahwinan untuk keluarga/sahabat
· Pergi bercuti selepas penat bekerja
· Mengubah suai rumah supaya lebih selesa
· Menambah nilai premium insurans
2. Gunakan wang tunai bagi setiap pembelian

Antara manfaat menggunakan wang tunai ialah anda mempunyai kuasa kawalan penuh terhadap setiap perbelanjaan. Sebagai contoh, anda akan berfikir dua tiga kali sebelum membelanjakan wang bagi sesuatu yang tidak penting untuk dimiliki. Bagi memupuk kebiasaan, tinggalkan kad kredit anda di rumah ketika pergi membeli-belah. Sebagai ingatan, jangan lupa untuk menyimpan resit pembayaran tunai.


3. Kawal pengeluaran wang daripada ATM

Anda dinasihat agar menetapkan jumlah pengeluaran wang daripada ATM. Ini dapat mengawal anda daripada berbelanja sesuka hati. Sekurang-kurangnya dengan wang terhad yang ada di dalam tangan, anda lebih berhati-hati berbelanja. Seperti contoh, tetapkan pengeluaran RM300 sebulan (bergantung kepada jumlah pendapatan dan cara anda berbelanja) daripada ATM. Jika wang yang dikeluarkan hanya cukup untuk keperluan asas, maka sudah tiba masanya anda mengurangkan perbelanjaan kapucino dan beralih kepada kopi tempatan yang tidak kalah rasanya.


4. Langsaikan hutang tertunggak kad kredit

Untuk memudahkan proses, anda boleh menjadikan ini sebagai salah satu matlamat penyimpanan wang. Tetapkan tempoh masa untuk anda melangsaikan hutang dan berhenti menggunakan kad kredit untuk pembelian berjumlah kecil. Pastikan juga anda hanya berbelanja setakat mana wang anda mampu membayarnya. Secara tidak langsung, ia dapat melindungi anda daripada membayar faedah andai kata hutang tertunggak ke bulan hadapan.


5. Tebus mata ganjaran kad kredit

Banyak syarikat kad kredit menawarkan mata ganjaran dengan setiap pembelian. Mata yang dikutip boleh ditukar dengan barangan tertentu yang ditawarkan. Untuk penyimpanan wang lebih, anda boleh merujuk kepadakatalog yang dikhaskan untuk pelanggan bagi memperoleh barang yang dihajati. Tetapi ingat! Gunakan mata ganjaran setakat yang terkumpul saja dan jangan gunakan kad kredit untuk menambah nilai mata kerana ia menyimpang daripada objektif kewangan.


6. Membeli-belah pada jualan murah

Antara cara mudah menjimatkan wang ialah menangguhkan pembelian hingga jualan murah dilangsungkan. Ini bermakna anda perlu bersabar untuk mendapatkan barang yang dihajati. Tetapi kesabaran itu ada balasannya kerana anda dapat memperolehnya dengan harga lebih murah. Biarpun potongannya cuma lima peratus, sekurang-kurangnya ia mengurangkan perbelanjaan anda. Gunakan kempen “Karnival Membeli-Belah” dengan sebaiknya-baiknya. Di samping itu anda juga boleh mengunjungi “flea market” atau “car boot selling” di sekitar bandar raya kini.


7. Membeli-belah di pasar gudang

Banyak faedahnya jika anda berkunjung ke pasar gudang. Di samping mempunyai kelebihan menawarkan harga lebih murah, anda juga dapat:
· membeli semua keperluan di bawah satu bumbung
· menjimatkan masa pergi dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari barangan
· menjimatkan penggunaan minyak kenderaan
· menjimatkan pembayaran letak kereta

No comments:

Post a Comment