Like Us on FB

Thursday, 26 March 2015

[TIPS PELANCONGAN]


Bekerja Sambil Melancong

Hati berbunga riang saat ditugaskan untuk menghadiri mesyuarat di destinasi percutian yang diidam-idamkan selama ini. Disebabkan jadual mesyuarat yang padat, kunjungan itu hanya untuk tugasan semata-mata. Ia pasti sesuatu yang rugi bukan? Lebih merugikan jika di hadapan hotel penginapan terbentang luas lautan yang cukup popular tetapi tetap tidak sempat menghabiskan masa terbuang di sana. Asal bijak mengatur masa, anda pasti punya masa untuk melancong walaupun ketika itu jadual anda pahat. 
Tip berikut mungkin dapat menjadi panduan untuk anda merancang percutian ketika bekerja di luar kawasan. Bak kata pepatah, menyelam sambil minum air.

Ketahui jadual
Mengetahui jadual sepanjang berada di luar kawasan amat penting bagi merancang ‘percutian’ peribadi anda . Teliti jadual anda dan pilih aktiviti yang sesuai dengan masa terluang yang ada. Ketika pagi, makan tengah hari, petang atau malam selepas semua urusan kerja selesai pada hari itu mungkin masa yang tepat untuk anda manfaatkan.
Jesteru, melihat matahari terbit pada pagi hari atau suasana malam cukup meriah di kawasan berhampiran pasti menyeronokkan, sekali gus dapat merehatkan minda yang sarat memikirkan urusan kerja.

Ketahui lokasi anda menginap
Satu lagi perkara yang penting dan perlu dititikberatkan jika mahu bekerja sambil melancong adalah mengetahui lokasi anda menginap sepanjang berada di destinasi.Dapatkan maklumat tempat menarik yang boleh anda kunjungi atau aktiviti menarik di kawasan berhampiran hotel penginapan. Jangan lupa juga maklumat sebanyak mungkin tempat makan yang popular dan sedap di kawasan sekitar hotel.Bagaimanapun, jika tidak punya sebarang tempat menarik di kawasan sekitar hotel, anda boleh memanfaatkan masa anda bersiar-siar dalam kawasan hotel dan melakukan aktiviti yang disediakan.

Makan tengah hari di luar
Setiap kali seminar atau mesyuarat, makan tengah hari sememangnya disediakan.Namun, ia bukan wajib untuk anda menyertainya. Oleh itu, ada mungkin boleh makan tengah hari di luar, sekali gus membolehkan anda untuk ‘mencuci mata’ sejenak. Namun, sebelum mengambil keputusan untuk makan tengah hari di luar, buatlah kajian atau tanya pihak hotel tempat makan yang disarankan selain menyajikan makanan sedap, halal bagi Muslim dan tempat yang menarik. Tidak perlu restoran mewah, restoran biasa atau warung sudah memadai.

Luangkan masa ketika malam
Malam adalah waktu anda melancong. Jika beruntung, anda boleh mengunjungi destinasi melancong yang meriah hingga tengah malam atau pagi. Jika tidak, carilah aktiviti yang boleh anda lakukan ketika malam. Jalan-jalan sekejap di luar hotel sudah memadai atau mungkin berjalan ditepi pantai yang berdekatan dengan hotel dan duduk menikmati minuman sambil ditemani deruan ombak. Namun, anda harus berhati-hati terutama jika anda berseorangan kerana berjalan ketika malam ada banyak risiko. Jangan lakukan aktiviti yang memenatkan atau lambat pulang ke bilik hotel kerana keesokan harinya anda masih ada seminar atau mesyuarat yang harus dihadiri.

Bersiar-siar
Pada waktu terluang, cuba tenangkan fikiran dengan bersiar-siar. Tidak perlu menaiki kenderaan kerana berjalan kaki saja anda pasti dapat menyenangkan fikiran. Caranya, mulakan hari pertama anda dengan menjelajah di hotel penginapan anda. Kemudian, keluar dari hotel dan berjalan-jalan di kawasan sekitar luar hotel.Pastinya sepanjang perjalanan pasti anda boleh menemui banyak perkara menarik seperti membeli cenderamata unik atau mencuba makanan tempatan di warung tepi jalan. Jika penat berjalan, pulanglah ke hotel dengan menaiki teksi atau pengangkutan awam yang tersedia di situ.

Tambah hari
Jika jadual mesyuarat atau seminar anda terlalu padat hingga langsung tidak memberi peluang untuk anda melancong, tambahan hari anda di destinasi adalah jalan terbaik Jika anda mahu menambah hari, banyak perkara yang harus dititikberatkan dan sebaiknya, keputusan itu di buat sebelum anda sampai ke destinasi. Ini kerana, anda perlu mengubah masa tiket penerbangan pulang anda, selain bilik hotel untuk menginap selepas habis urusan kerja dan pengangkutan anda sepanjang berada di situ. Jangan lupa pula membawa pakaian yang lebih santai dan sesuai untuk anda melancong. Ini bagi mengelakkan anda terpaksa memakai pakaian rasmi kerana tidak membawa baju lebih.

No comments:

Post a Comment