Tak makan tetapi sihat
Ibadah selama sebulan ini amat baik dalam membantu merawat beberapa penyakit. Malah, dengan berpuasa nafsu juga dapat dikawal terutama dari segi pengambilan makanan.
Ibadah selama sebulan ini amat baik dalam membantu merawat beberapa penyakit. Malah, dengan berpuasa nafsu juga dapat dikawal terutama dari segi pengambilan makanan.
Biarpun pada sebelah siang berpuasa, itu bukanlah penghalang untuk anda menjaga kesihatan dan kekal cergas sepanjang masa. Jadi, bagi memastikan anda kekal bertenaga dengan mengamalkan diet yang betul. Berikut antara tip yang boleh diikut:
Makan cara sihat
Makan secara sihat perlu dijadikan amalan setiap masa. Ini penting untuk mengelakkan beberapa masalah kesihatan seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, kandungan gula rendah dalam darah dan sebagainya.
Sekiranya masalah ini berlaku pastinya boleh mengganggu seseorang itu berpuasa dengan selesa dan menghayati fadhilat Ramadan.
Makanlah pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang. Anda harus mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berdasarkan Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit minyak, lemak, gula dan garam.
Selain daripada itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman ataupun sup.
Berbuka puasa
Kebanyakan daripada kita suka makan kuih muih manis sebagai juadah berbuka. Tidak menjadi salah asalkan tidak makan secara berlebihan dan digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu sebaik sahaja berbuka puasa.
Ini baik untuk mengelakkan ketidakselesaan kepada sistem penghadaman. Mengikut Sunnah, adalah lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa kerana kaya dengan tenaga serta serat.
Elakkan makan makanan pedas atau berempah sewaktu berbuka bagi mengelakkan perut berasa tidak selesa.
Contoh makanan yang baik diamalkan pada Ramadan adalah seperti berikut:
- Berbuka: Tiga biji kurma, setengah cawan jus buah-buahan, satu cawan sup sayur atau setengah cawan bubur lambuk dan sekeping kuih.
- Makan malam: Dua senduk nasi, seketul ikan atau ayam, sayur campur dan sebiji buah.
- Makan lewat malam atau moreh: Makan makanan ringan seperti roti, sandwich, kuih muih, kacang atau buah-buahan.
Elakkan makan makanan yang berat secara menerus kerana pada ketika ini badan berada pada fasa yang dikenali sebagai Insulin Spike memandangkan paras glukosa dan insulin dalam darah sebelum ini adalah rendah kerana berpuasa.
Pada fasa ini, insulin akan dirembes dengan mendadak dengan kadar yang banyak, untuk membantuhappy wheels demo penyerapan glukosa ke dalam sel. Ini mengakibatkan paras glukosa dalam darah jatuh dengan mendadak dan otak mula berfikir bahawa badan kekurangan sumber glukosa, sekaligus memberikan isyarat bahawa tubuh badan masih lapar dan memerlukan lebih makanan. Ini akan mengakibatkan anda makan secara berlebihan.
Sahur
Amalan bersahur penting sewaktu berpuasa bagi membekalkan tenaga sepanjang berpuasa pada siang hari. Sebaik-baiknya, waktu sahur sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur adalah tidak digalakkan.
Sahur boleh dilakukan dengan makan sedikit walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu ini. Memadai dalam anggaran yang secukupnya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.
Sewaktu bersahur, adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti gandum penuh serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar kerana makanan jenis ini mengambil masa kirakira lapan jam untuk dicernakan.
Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur. Ini kerana keletihan utama ketika berpuasa adalah disebabkan oleh kurangnya air dalam badan dan bukannya disebabkan perut terasa lapar atau tak cukup makan. Seeloknya minum tiga hingga lima gelas air, diagih secara berperingkat dari awal hingga ke akhir sahur.
Walaubagaimanapun elakkan pengambilan garam berlebihan dan minum minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.
Jangan lepaskan peluang untuk menjalani ibadah puasa dengan sempurna kerana inilah peluang anda untuk menurunkan berat badan bagi mereka yang bermasalah. Apa yang penting ialah amalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta mengurangkan makanan yang tinggi lemak dan tinggi gula.
Beri perhatian kepada saiz hidangan kerana biasanya apabila lapar, anda lebih cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak. Jangan jadikan puasa sebagai alasan untuk tidak aktif.
Lakukan aktiviti fizikal secara sederhana seperti regangan dan berjalan kaki. Pengambilan makanan secara sihat bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan malah membolehkan kita menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
No comments:
Post a Comment