Like Us on FB

Friday, 19 June 2015

[TIPS KECANTIKAN]


JAGA RAMBUT WALAU BERHIJAB

Sayangilah rambut sama seperti anda menjaga kulit wajah dan penampilan diri yang lain. Walaupun bertudung, pastikan rambut anda sentiasa terjaga dengan mengamalkan tip ini.
1. Pilihlah tudung daripada jenis kain yang mudah menyerap peluh seperti fabrik daripada kain kapas. Fabrik yang mudah menyerap peluh akan memudahkan aliran udara di kepala anda.
2.TREND pemakaian tudung terkini menyaksikan gabungan beberapa lapis tudung bagi sekali pemakaian. Kita boleh menvariasikan gaya namun ingat, jangan melebihi empat lapisan kain.
Ini kerana semakin tebal tudung anda, semakin sukar rambut anda bernafas, membuatkannya mudah lembap dan berbau.
3. Hindari pemilihan kain tudung berwarna gelap seperti hitam jika kita banyak menghabiskan masa di bawah sinar matahari.
Warna hitam akan menyerap sinaran matahari lebih banyak dan ini kadangkala akan membuatkan anda tidak selesa, berasa pening dan kulit kepala akan mudah gatal dan berpeluh.
4. Sebaik sahaja sampai di rumah selepas bekerja mahupun daripada beriadah, teruslah membuka tudung dan biarkan kulit kepala bernafas terlebih dahulu. Berehatlah seketika dalam masa setengah jam sehingga peluh pada tubuh dan kulit kepala anda benar-benar kering.
Sebaik-baiknya bukalah ikatan rambut anda dan biarkan angin meresap ke seluruh kulit kepala. Elakkan terus mandi sebaik sahaja sampai di rumah.
5. Sewaktu anda tidak mengenakan tudung, sikatlah rambut anda dan elakkan daripada tidak terurus. Secara tidak langsung ini memastikan akar rambut dan kulit kepala mendapat pengudaraan yang secukupnya.
Keadaan kulit kepala dan rambut yang bertutup sepanjang hari boleh menjadi punca kepada kerosakan rambut jika tidak kena caranya.
6. Elakkan memakai tudung ketika rambut anda basah. Keadaan ini akan menimbulkan masalah kelemumur, rambut berminyak dan berbau yang kurang menyenangkan.
7. Jagalah kebersihan rambut dan kulit kepala dengan menggunakan produk yang bersesuaian keadaan rambut anda.
Penggunaan produk rambut yang lengkap seperti syampu, perapi, minyak rambut (sebelum cucian), serum/tonik (selepas cucian) dan masker rambut amat penting khususnya bagi wanita yang menghadapi masalah rambut.

No comments:

Post a Comment