Pengambilan makanan pada bulan puasa tidak seharusnya berbeza daripada bulan-bulan yang lain dan sepatutnya dapat membekalkan tenaga, vitamin dan mineral. Makan secara sihat pada bulan puasa penting untuk menghindari beberapa masalah kesihatan yang biasanya berlaku seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, pedih ulu hati dan kandungan gula rendah dalam darah.
Oleh itu, makanlah secara sederhana dan pastikan pengambilan makanan yang seimbang untuk kekal sihat. Anda mesti mengambil makanan daripada semua kumpulan makanan berasaskan Piramid Makanan MALAYSIA . Ini kerana tidak ada satu makanan yang dapat membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan tubuh kita.
Jangan makan secara berlebihan sewaktu berbuka puasa. Ini kerana setelah seharian berpuasa, aktiviti gastrik di dalam perut akan menurun pada tahap yang minimum.
Apabila kita mengambil makanan sewaktu berbuka puasa, aktiviti gastrik akan meningkat. Jika makan terlalu banyak sewaktu berbuka ini akan menyebabkan peningkatan asid yang terlalu mendadak. Keadaan ini akan mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh menjejaskan kesihatan. Oleh itu, makanlah makanan ringan terlebih dahulu sewaktu berbuka puasa untuk mengelakkan peningkatan aktiviti gastrik yang mendadak. Ia juga dapat mengurangkan masalah semasa berpuasa dan kita dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna.
Makan malam yang lebih berat digalakkan sebaik sahaja selepas mengerjakan solat Maghrib. Hidangan makan malam yang disarankan ialah 1 ½ cawan nasi putih, seketul ikan atau ayam, satu mangkuk sayur campur. Jika boleh, elakkan makanan yang berminyak dan bersantan. Ambil buah-buahan serta lebihkan minum air kosong.
Hidangan lewat malam atau moreh, boleh di ambil jika perlu. Elakkan mengambil makanan yang berat, cukuplah sekadar snek ringkas seperti kacang, sandwic, yogurt, roti, biskut, satu atau dua ketul kuih dan segelas susu . Pengambilan makanan yang berat seperti mi atau nasi mengakibatkan ketidakselesaan dan boleh mengganggu tidur anda.
TIP KEKAL CERGAS PADA BULAN PUASA
Berikut adalah beberapa panduan untuk anda kekal cergas di bulan puasa.
- Ambil makanan yang berkhasiat iaitu mengandungi karbohidrat, protein, vitamin, mineral serta sedikit lemak.
- Lakukan aktiviti fizikal untuk meningkatkan metabolisme. Waktu yang sesuai untuk anda melakukan aktiviti fi zikal ialah ½ jam sebelum berbuka ataupun selepas makanan yang dimakan hadam.
- Minum banyak air terutama air kosong. Ini untuk mengelakkan dehidrasi kerana badan kita memerlukan air yang banyak.
- Elakkan mengambil minuman yang berkafein kerana ia boleh menghalang penyerapan zat-zat makanan oleh badan.
TABIAT MAKAN YANG PERLU DIELAKKAN
Berikut adalah beberapa tabiat makan yang perlu dielak di bulan puasa.
- Jangan makan berlebihan terutama sewaktu berbuka puasa. Ini untuk mengelak kejadian kembung perut atau ketidakhadaman makanan.
- Kurangkan pengambilan makanan yang bergoreng dan berlemak.
- Kurangkan makanan tinggi gula.
- Kurangkan minum minuman berkafein seperti kopi, teh dan air berkarbonat. Minuman ini boleh menghalang penyerapan vitamin dan mineral penting yang diperlukan oleh badan. Ia juga boleh menyebabkan kita kerap membuang air kecil.
- Elakkan makanan yang diproses terutamanya yang mengandungi perisa dan pewarna tiruan serta pengawet. Biasanya makanan terproses adalah tinggi garam walaupun tidak terasa masin.
- Kurangkan makanan yang terlalu berempah dan pedas.
TIP MENINGKATKAN PENGAMBILAN SERAT
Kesesuaian makanan yang mengandungi tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, roti atau biskut wholemeal dan kekacang kurang diambil pada bulan puasa. Ini kerana, makanan ini biasanya kurang mendapat perhatian jika dibandingkan dengan makanan lain yang dijual di pasar Ramadhan.
Namun begitu, pengambilan serat adalah penting untuk mencegah masalah sembelit terutamanya di bulan puasa. Sayur juga boleh memberi rasa kenyang dan boleh membantu mengawal berat badan. Buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dijadikan sebagai hidangan yang berkhasiat. Berikut adalah panduan untuk meningkatkan pengambilan serat:
- Sewaktu berbuka puasa, makan tiga biji buah kurma, setengah cawan jus buah tanpa gula, satu mangkuk sup sayur campur serta1 atau 2 keping roti tinggi serat.
- Ketika makan malam, ambil sayur campur dan sebiji buah berserta makanan yang lain.
- Ambil buah-buahan sebagai makanan lewat malam.
- Bersahurlah dengan bijirin sarapan seperti oats, sup sayur ataupun buah-buahan.
- Tambah kekacang seperti kacang dhal, kacang kuda, kacang soya atau kacang pis ke dalam masakan.
TIP MENINGKATKAN PENGAMBILAN AIR
Walaupun berpuasa, kita perlu minum 6-8 gelas air sehari. Air penting untuk fungsi badan yang sempurna selain mencegah sembelit. Kekurangan pengambilan air boleh mengakibatkan keletihan. Jika boleh, utamakan air kosong. Namun begitu, anda juga boleh minum jus buah-buahan ataupun susu rendah lemak. Elakkan pengambilan AIR MANIS yang mengandungi pewarna dan perisa tiruan.
Selain daripada minum air, anda juga boleh meningkatkan pengambilan cecair dengan mengambil sup sayur. Berikut adalah beberapa cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengambilan air:
- Minum dua gelas air sewaktu berbuka. Ini termasuklah jus buah-buahan ataupun susu rendah lemak.
- Minum 2-3 gelas air sebelum tidur.
- Minum dua gelas air sewaktu bersahur.
No comments:
Post a Comment