Susun atur dengan bijak
Cara susunan yang betul untuk ruang dapur akan memudahkan anda untuk bergerak dan membuat kerja. Ini secara tidak langsung menjimatkan masa serta membantu anda menyiapkan banyak kerja dalam satu masa.
Jadi bagi mendapatkan dapur idaman anda, aplikasikan kaedah segitiga dapur iaitu kedudukan sinki, dapur dan peti sejuk disusun membentuk segitiga bagi mengurangkan pergerakan anda.
Disebabkan itu, tetapkan kedudukan ketiga-tiga barangan ini dahulu sebelum mengubah suai ruang dapur anda. Pastikan buat keputusan yang bijak untuk keselesaan dan dalam masa sama menjaga keselamatan anda sewaktu memasak.
Sinki
Kedudukan yang paling sesuai adalah berhadapan tingkap dapur. Tidak hanya selesa malah mengelakkan lembapan di dalam dapur terutama bagi singki yang sentiasa dalam keadaan basah.
Cahaya matahari dan angin dari tingkap membantu mengeringkan singki dengan lebih berkesan. Ini juga baik dalam memastikan kabinet dapur anda tahan lebih lama.
Dapur
Sesuai diletakkan berhampiran singki. Ini baik untuk melancarkan proses penyedut asap (hood) bagi mengeluarkan asap daripada dapur dengan lebih berkesan.
Lokasi yang paling sesuai untuk dapur anda adalah 50cm hingga 100cm jarak dari sinki. Secara tidak langsung ruang antara sinki dan dapur cukup untuk dua orang melakukan kerja serentak.
Peti sejuk
Antara barangan yang paling besar dan seeloknya diletakkan di hujung dapur bagi menampakkan ruang yang lebih luas. Kabinet tinggi sesuai diletakkan di tepi peti ais bagi melindunginya dan dalam masa sama, ruang ini nampak lebih kemas.
Walaubagaimanapun, jarakkan peti sejuk sekurang-kurangnya 10cm daripada kabinet untuk membantu sistem pengudaraan yang lebih sempurna.
Ketuhar
Selain tiga barang di atas, ketuhar juga antara barangan penting yang perlu ada di dapur anda. Dalam memastikan kedudukannya, ketuhar gelombang mikro tidak sesuai diletakkan berhampiran dapur.
Ketuhar biasa selalunya bersaiz sederhana jadi, boleh diletakkan di bawah atau di dalam kabinet tinggi.
Bagi mempelbagaikan kegunaan kabinet untuk menyimpan lebih banyak barang, kabinet tinggi adalah pilihan yang tepat.
Selain itu jika menyimpan ketuhar di dalamnya, anda boleh menentukan ketinggian ketuhar supaya mudah untuk menggunakannya.
No comments:
Post a Comment