Like Us on FB

Thursday, 7 May 2015

[TIPS MOTIVASI]


TINGKATKAN PRODUKTIVITI KERJA
Kita mungkin selalu mendengar keluhan : “Aku ni sibuk tak sudah-sudah. Sejak kerja di sini, memang tak pernah rehat. Sibuk saja!”

Tahukah anda biasanya keluhan tersebut daripada siapa? Ya, tentunya daripada orang yang sibuk! Ada orang yang mempunyai jadual yang ketat dan rutin yang sangat banyak, namun tidak mempunyai perkembangan kerjaya yang baik. Tidak banyak yang dicapai dalam kerjaya, sekadar kerja-kerja rutin yang kurang berimpak tinggi kepada organisasi.

PENGGERAK MOMENTUM KERJAYA
Jadi apa yang kita boleh lakukan jika “terperangkap” dalam situasi sebegini? Mungkin beberapa idea di bawah ini boleh membantu kita menggali dan mencari idea-idea baru bagi menggerakkan lagi momentum hidup dan kerjaya kita:

1. BERJIWA BESAR DAN BERPANDANGAN JAUH
Sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan meneliti isu-isu yang mungkin akan memberikan impak besar dalam jangka masa panjang kelak. Bayangkan, apakah bentuk kejayaan yang anda akan kecapi dalam masa lima tahun akan datang? Senaraikan kesukaran dan halangan yang mungkin menghalang anda daripada sesebuah kejayaan. Kemudian, buat perancangan untuk menghadapainya.

2. SENTIASA POSITIF
Sentiasa optimis dengan kejayaan dan kebolehan diri anda. Tiada sesiapa yang boleh menafikan kemampuan anda jika tidak membenarkan diri anda menafikannya. Tetapkan momentum tindakan, kemudian teruskan langkah dengan semangat dan berhati-hati.

3. KONGSI MATLAMAT DENGAN MAJIKAN
Terangkan kepada majikan tentang hasrat dan sasaran anda dalam karier sekarang. Minta majikan anda menganalis sama ada sasaran peribadi anda bersesuaian dengan organisasi ataupun tidak. Minta pendapat daripadanya sama ada perancangan yang anda lakukan realistik ataupun tidak.

Pada masa yang sama, mintalah nasihat-nasihat tentang keperluan yang mesti anda lakukan untuk menjayakan perancangan tersebut. Mungkin majikan akan banyak membantu anda.

4. MENDAPATKAN MENTOR ATAU PENYELIA
Mentor atau penyelia seharusnya orang yang disegani dan diiktiraf kemampuannya dalam bidang yang diceburi. Beliau mesti seseorang yang dilihat sebagai role model kepada orang yang berada dalam bidang tersebut.

Dengan mempunyai mentor, anda dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan yang tidak perlu. Pada masa yang sama, anda boleh meningkatkan prestasi dan kemahiran yang dimiliki. Sentiasa berhubung dengan mentor anda terutamanya ketika dalam kesukaran.

5. PRODUKTIF WALAUPUN TIDAK DISELIA
Jika majikan anda bercuti atau bekerja luar kawasan untuk beberapa tempoh waktu, gunakan peluang ini untuk membuktikan kemampuan anda. Selesaikan kerja sebelum tarikh akhir tiba. Semua orang boleh melakukannya, cuma ramai yang suka bertangguh.

Jika anda dapat melakukan sedemikian, majikan akan lebih menghargainya kerana anda bekerja bukan semata-mata apabila dipantau, bahkan membuktikan anda seorang yang produktif! Konsep ihsan akan terbukti apabila seseorang bekerja kerana Allah, merasai kewujudan Allah dan meyakini diri sendiri “dipantau” oleh Allah.

6. LEBIH BAIK DARIPADA JANGKAAN DAN HARAPAN
Setiap tugasan perlu diletakkan sasaran yang hendak dicapai. Jika majikan memandang rendah terhadap anda, maka dia akan meletakkan standard dan sasaran yang rendah sahaja. Jangan biarkan diri anda “direndah-rendahkan.” Jangan jadi pasif. Lakukan yang lebih baik daripada jangkaan majikan.

Tunjukkan hasil kerja anda kepada majikan dan serlahkan “kehebatan” hasil tersebut. Slepas ini, sudah pasti anda tidak akan “direndah-rendahkan” lagi.

7. HASILKAN PENULISAN DAN PENERBITAN
Jika anda boleh melakukan perkara ini, ia adalah satu kredit yang sangat bermakna untuk meningkatkan prestij diri anda. Anda boleh menulis artikel tentang bidang yang anda ceburi atau perkara-perkara baru dalam bidang tersebut. Anda juga boleh mengolah kejayaan-kejayaan anda dan organisasi dalam membangunkan sesuatu perkara yang berfaedah untuk semua. Perkara yang penting, tulislah sesuatu yang boleh dibaca oleh semua orang!

8. PEMAIN YANG BAIK DALAM PASUKAN
Jangan hanya menonton atau hanya melepaskan batuk di tangga dengan “menendang bola” sebaik sahaja anda menerimanya apabila berada dalam pasukan. Pemain yang baik akan sentiasa mencipta peluang untuk diri sendiri atau orang lain “menjaringkan gol”.

Tunjukkan kesungguhan dan usaha anda. Doronglah orang lain untuk bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh.

9. JANGAN DIKRITIK, BERSIKAP POSITIF
Berfikirlah secara objektif dan elakkan daripada beremosi ketika dikritik. Jauhkan pendekatan defensif kerana anda tidak akan dapat apa-apa manfaat. Jika kritikan tersebut tidak adil dan tiada asas, anda perlu mempertahankan kebenaran.
Pertimbangkan pandangan pengkritik tersebut. Anggaplah ia sebagai satu peluang untuk belajar dan meningkatkan diri. Yang terakhir, ucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi “meluangkan masa” untuk anda walaupun tidak bersetuju dengan kritikan tersebut.

10. BERKONGSI KEJAYAAN RAKAN
Jika terlalu meninggi diri dengan kejayaan, anda akan disisihkan oleh orang lain. Tidak semestinya anda perlu belanja mereka makan setelah mendapat bonus. Cukuplah dengan merendah diri dan menghargai bantuan rakan-rakan lain selama anda bekerja.

Ada satu kata-kata yang menarik daripada Dr. David M. Burns: “Ingatlah, ketakutan sering bersembunyi di sebalik kesempurnaan. Hadapi ketakutanmu dan berikan hak kepada dirimu untuk menjadi manusia. Peliknya, ia akan membuat anda lebih gembira dan produktif.”

No comments:

Post a Comment