Kreatif dan kritis!! Dua elemen penting yang juga merupakan antara tuntutan utama dalam misi anda untuk memajukan perniagaan. Dalam erti kata lain, anda perlu berfikir dan berusaha dengan lebih keras bagi menjadikan perniagaan anda sesuatu yang lain daripada yang lain demi menarik minat lebih ramai pelanggan. Perniagaan yang mempunyai kreativiti tersendiri kebiasaannya akan lebih cepat dikenali oleh para pengguna tambahan pula sekiranya produk atau servis yang disediakan menepati kehendak pengguna. Akan tetapi, faktor kreativiti tersebut mestilah seiring dengan strategi perniagaan anda agar faktor itu benar-benar dapat memberikan impak kepada perniagaan yang diusahakan. Contoh yang mudah, pada hari ini kita boleh melihat betapa ramai para peniaga di pasar-pasar malam yang menjual air tebu. Mungkin di satu kawasan pasar malam yang sama terdapat dua atau tiga gerai yang menjual air tebu. Maka, persaingan menjadi lebih sengit. Oleh itu, penjual-penjual air tebu tersebut sewajarnya berfikir dengan lebih mendalam tentang cara yang boleh digunakan untuk menarik lebih ramai pelanggan ke gerai masing-masing. Bagaimanakah caranya? Terpulang kepada masing-masing untuk memikirkannya. Banyak aspek-aspek kreativiti yang boleh digunakan dalam perniagaan tanpa mengambil kira jenis perniagaan anda juga sama ada perniagaan anda kecil ataupun besar. Jika kena dengan caranya, kreativiti tersebut mampu menaikkan jenama perusahaan anda!!
Melihat Kelemahan dan Kekurangan Sebagai Satu Peluang Keemasan!!
Setiap perniagaan kebiasaannya mempunyai kelemahan atau kekurangan yang tersendiri. Kekurangan tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai satu kelemahan oleh para peniaga. Jadi, bagaimana caranya untuk melihat kelompangan yang ada dalam sesebuah perniagaan sebagai suatu kelebihan? Mudah sahaja bak kata seorang tokoh perniagaan internet yang terkemuka iaitu Irfan Khairi menyatakan bahawa usahawan atau mana-mana para peniaga mestilah sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran. Tujuannya adalah untuk memastikan adanya percambahan idea dalam kalangan para peniaga mahupun usahawan-usahawan bagi menguruskan sesebuah perniagaan sekaligus dapat menjadikan perniagaan tersebut lebih menarik. Untuk itu, bagi para peniaga yang benar-benar berfikiran kreatif dan kritis, mereka akan cenderung untuk melihat segala kekurangan atau kelemahan dalam perniagaan sebagai satu peluang keemasan untuk mereka meningkatkan mutu serta kualiti perniagaan.
Contoh yang sangat mudah, pernahkah anda mendengar tentang Kentucky Fried Chicken atau lebih popular sebagai KFC? Agak pelik sekiranya anda mengatakan tidak!! KFC adalah antara restoran makanan segera yang mempunyai elemen-elemen kreativiti dalam kelas tersendiri. Menyedari bahawa hidangan utama mereka adalah ayam goreng, pihak KFC mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pelbagai menu dari semasa ke semasa dan setiap menu tersebut mempunyai daya tarikan yang kuat terhadap pembeli. Ini kerana, pihak KFC sendiri mungkin dapat merasakan bahawa masyarakat akan berasa bosan dengan menu yang sama tanpa sebarang perubahan. Bagi mengelakkan kelemahan tersebut berlaku, strategi berkesan telah diatur dengan baik oleh pihak KFC. KFC Tom Yum, ‘Famous Bowl’, ‘KFC Egg Tart’, ‘Toasted Pocketful’, ‘Krushers’, dan banyak lagi menu-menu baru yang telah diperkenalkan oleh KFC. Konsep perniagaannya tidak pernah berubah iaitu menyediakan makanan segera kepada masyarakat awam. Akan tetapi, faktor kreativiti pihak pengurusan KFC Malaysia sememangnya wajar dijadikan contoh oleh para peniaga dan usahawan yang lain dengan mereka sentiasa berfikiran kehadapan untuk menyediakan pelbagai resepi-resepi terkini bagi masyarakat berbilang kaum di negara kita.
Selain itu, sebagai seorang usahawan atau peniaga, keberanian untuk mengambil risiko sangat penting. Tetapi janganlah kita membuta tuli mengambil sesuatu risiko tanpa mengkaji faktor dan kesannya terlebih dahulu. Dalam isu melihat kekurangan sebagai satu peluang keemasan, keberanian memainkan peranan yang sangat besar. Kadang-kadang anda mungkin sudah berjaya menemui kekurangan yang ada dan sudah memikirkan cara untuk mengatasinya, tetapi dengan kemampuan yang ada adakah anda begitu berani untuk melaksanakannya? Pastikan langkah penyelesaian yang ingin anda ambil telah anda kaji dengan sedalam-dalamnya. Hidup dalam dunia perniagaan ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ada kesan dan risiko yang menanti. Seandainya anda benar-benar yakin dan berusaha dengan segigih-gigihnya, InsyaALLAH anda akan berjaya.
Pelik Tetapi Menarik
Tidakkah anda teringin untuk mempunyai suatu perusahaan yang pelik tetapi menarik? Biar pelik asal menarik jangan pelik dan memang pelik!! Objektifnya tetap sama, untuk menarik seramai mungkin pelanggan atau pengguna terhadap servis yang anda sediakan. Tidak kiralah perniagaan apa sekalipun, semuanya boleh menjadi lebih menarik sekiranya anda ada cara untuk melakukannya. Untuk mendapatkan sesuatu idea yang pelik tetapi menarik, anda sebagai seorang usahawan perlu mencabar pemikiran anda bagi mengumpulkan idea-idea yang terbaik dan sesuai dengan perniagaan yang anda usahakan. Tidak dinafikan, kadang-kadang apabila kita mencuba sesuatu yang baru boleh jadi kita mendapat kritikan dan boleh jadi juga kita mendapat sokongan. Oleh itu, jika anda benar-benar yakin dengan apa yang anda ingin lakukan, ketepikan segala kritikan dan anggaplah kritikan-kritikan tersebut sebagai satu inspirasi untuk anda terus memajukan perniagaan anda.
Kebiasaannya, pada bulan Ramadhan, begitu ramai para peniaga yang mengambil peluang untuk berniaga di bazar-bazar Ramadhan. Pelbagai aneka juadah dijual dan para peniaga berlumba-lumba sesama sendiri untuk menghabiskan jualan produk makanan dan minuman masing-masing. Persaingan juga menjadi semakin sengit. Disinilah faktor pelik tetapi menarik boleh diguna pakai untuk memikat para pelanggan. Contohnya, gerai yang menjual minuman. Terdapat gerai yang menjual sehingga dua puluh lebih jenis minuman. Air tembikai laici, bandung cincau, epal susu, barli susu, koktail, katira, cendol dan bermacam-macam lagi jenis minuman yang dijual. Sudah tentu, gerai minuman tersebut akan menjadi tumpuan para pembeli kerana keunikannya selain terdapat banyak pilihan minuman. Inilah yang dikatakan pelik tetapi menarik!!
Dalam membincangkan isu pelik tetapi menarik, satu kekuatan yang perlu anda pupuk dalam diri anda adalah tahan kepada segala kritikan. Mungkin idea yang ingin anda laksanakan akan dianggap idea gila oleh sesetengah pihak, tetapi belum cuba belum tahu. Lakukan dan buktikan kepada semua bahawa idea anda itu boleh membuahkan hasil yang mengagumkan. Jangan sesekali jatuh kerana kritikan dan jangan sesekali megah kerana pujian. Dunia perniagaan tidak pernah menjanjikan sebarang kejayaan atau kegagalan berpanjangan, bergantung kepada sejauh mana usaha dan pengorbanan yang anda lakukan. Teruskan usaha anda dan beringatlah bahawa kesemua rezeki itu hanya datang daripada ALLAH SWT.
Sentiasa Berfikir Ke Hadapan
Dalam mana-mana ceramah motivasi atau seminar keusahawanan, sentiasa berfikiran ke hadapan merupakan antara aspek yang sering ditekankan oleh para penceramah. Bukan tidak boleh memandang ke belakang, tetapi jadikanlah segala pengalaman lampau sebagai satu pengajaran dan semangat untuk kita terus maju. Berbagai-bagai risiko yang ada dalam perniagaan. Untung dan rugi juga sudah menjadi mainan bagi para peniaga. Sebagai langkah berjaga-jaga, setiap para usahawan ataupun para peniaga kecil mahupun besar perlulah sentiasa berfikiran kehadapan. Anda perlu untuk memikirkan tentang kesan-kesan yang mungkin akan timbul, risiko yang bakal dihadapi, serta jalan penyelesaian sekiranya berlaku sebarang masalah yang dijangka atau tidak dijangka. Jangan terlalu gopoh untuk berangan-angan dalam perniagaan. Para peniaga atau usahawan yang sentiasa berfikir ke hadapan sememangnya mempunyai banyak idea dan perancangan yang hebat. Inilah antara contoh kreativiti dalam perniagaan. Dengan berbekalkan idea-idea yang hebat, mereka begitu kreatif menjalankan perniagaan sekaligus sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Bolehkah anda melakukannya?
Seperkara lagi, usahawan yang berfikiran ke hadapan tidak akan menghadkan fikiran mereka untuk mencari satu sahaja jalan penyelesaian bagi masalah yang dihadapi. Fikirkanlah lebih daripada satu jalan penyelesaian agar anda mempunyai banyak pilihan idea untuk menamatkan segala permasalahan yang membelenggu perniagaan anda. Apabila anda sudah mempunyai beberapa pilihan penyelesaian, pilihlah jalan yang terbaik yang mampu untuk anda lakukan.
Sekiranya anda seorang peniaga kuih-muih di pasar malam dan anda sering mendapati kuih-muih anda tidak dapat dijual habis maka apa yang anda akan lakukan? Sama ada anda membuang lebihan kuih-muih tersebut atau mengurangkan kuantiti jualan untuk masa akan datang atau anda akan mengurangkan harganya atau sebarang cara yang lain? Hakikatnya terpulanglah kepada anda tetapi pastikan keputusan yang diambil boleh mendatangkan faedah serta keuntungan kepada perniagaan yang diusahakan.
Promosi & Pengiklanan Perniagaan Yang Menarik
Strategi utama untuk melariskan perniagaan adalah melalui promosi dan pengiklanan. Pada hari ini, kita dapat lihat betapa banyak papan-papan iklan, banting, poster, kertas-kertas iklan dan bermacam lagi cara yang digunakan oleh para peniaga untuk menghebahkan perniagaan masing-masing. Tidak dinafikan, promosi dan pengiklanan sememangnya salah satu cara berkesan untuk menarik para pelanggan. Akan tetapi, penghasilan iklan yang lebih kreatif serta menarik sudah tentu mampu memberikan impak yang lebih besar berbanding iklan-iklan biasa yang lain. Cumanya, apabila anda telah menghasilkan suatu iklan yang kreatif dan luar biasa, anda juga perlu memastikan kualiti produk atau perkhidmatan yang anda sediakan setara seperti mana yang telah anda iklankan. Jangan sesekali anda cuba untuk menipu dalam pengiklanan kerana boleh membawa kesan buruk serta menggugat keyakinan para pelanggan terhadap perniagaan anda.
Dalam era IT dan globalisasi ini, bermacam kaedah yang boleh digunakan bagi tujuan pengiklanan. ‘Facebook’, ‘Twitter’, ‘Email’, laman sesawang pengiklanan seperti ‘mudah.my’, ‘e-bay’ dan banyak lagi laman pengiklanan di internet yang boleh anda gunakan untuk mempromosikan bisnes yang anda jalankan bukan hanya di dalam negara malah di seantero dunia. Jika anda benar-benar kreatif dalam mengiklankan perniagaan anda, maka tidak mustahil perniagaan anda mampu berkembang maju dalam sekelip mata.
Zaman sekarang juga telah memperlihatkan begitu ramai individu yang gemar menjalankan bisnes hanya melalui internet sahaja. Misalnya, seseorang individu itu mampu untuk menjual pakaian hanya daripada rumah dan segala bentuk pengiklanan dan promosi dilakukan melalui internet. Penghantaran barangan pula dilakukan melalui pos atau kurier. Apa yang menariknya, keuntungan yang diraih mampu mencecah empat angka!! Ini tidak mustahil sekiranya anda bijak mengiklankan perniagaan anda.
Kesimpulannya, kreativiti dalam perniagaan memainkan peranan yang sangat penting terhadap perniagaan itu sendiri. Banyak lagi cara dan kaedah untuk menjadikan sesuatu perniagaan lebih kreatif dan menarik. Setiap aspek dalam perniagaan perlu diberi penekanan bermula daripada aspek promosi sehingga ke jualan agar perniagaan tersebut benar-benar membuahkan keuntungan. Pakar perniagaan internet, Irfan Khairi dalam tip perniagaannya ada menyatakan bahawa seseorang ahli perniagaan yang ingin menjana idea yang kreatif perlulah sentiasa bergembira dan berseronok kerana idea yang hebat seringkali datang apabila kita berada dalam keadaan gembira dan seronok. Semoga semua para usahawan dan para peniaga yang membaca artikel ini dapat mengambil input-input yang berguna dan mengaplikasikannya dalam perniagaan masing-masing. Ingatlah, rezeki itu datang daripada ALLAH SWT dan kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.
No comments:
Post a Comment