JIKA anda merancang percutian untuk keluarga terutama cuti sekolah yang bakal menjelang, apa kata memilih percutian di luar bandar - peluang untuk menikmati pengalaman baru yang tidak mudah ditemui di destinasi kota besar.
Sama ada ia merentas hutan belantara, menjelajah gua atau menyertai program kesedaran ekologi yang lain, pelancongan ´luar-bandar´ ini akan memberi anak-anak serta ibu bapa pendekatan yang lebih menyeluruh untuk meningkatkan pembelajaran dengan cara berdampingan dengan alam sekitar.
Menurut Pakar Kanak-Kanak, Dr Yong Junina Fadzil, pelancongan bukan saja untuk bercuti bagi kanak-kanak kerana ia memberikan mereka peluang untuk mengenali dunia nyata.
"Mereka berkesempatan untuk menyentuh, menghidu, merasa atau menikmati sesuatu. Ia memberi mereka peluang untuk mengembara persekitaran di luar alam rumah atau sekolah mereka," katanya.
Pengalaman sebenar, katanya, membantu untuk memupuk keinginan menimba ilmu dan ia boleh meningkatkan kadar kebijaksanaan serta daya kreatif kanak-kanak.
"Televisyen dan komputer hanya memberikan pembelajaran pasif manakala pengalaman nyata memupuk pembelajaran yang dinamik," katanya.
Ternyata pelancongan bagaikan pembelajaran yang tiada penghujungnya sama ada untuk kanak-kanak mahupun golongan dewasa.
Namun, ibu bapa harus membuat perancangan yang teratur untuk memastikan ia menjadi percutian yang menyeronokkan. Berikut panduan ringkas untuk menikmati percutian yang menggembirakan bersama keluarga:
* Pilih destinasi dan aktiviti yang sesuai
Ketahui topik terkini yang sedang dipelajari anak di sekolah dan cuba aturkan percutian bersesuaian. Cuba babitkan anak ketika membuat perancangan supaya seluruh pengembaraan menjadi lebih menyeronokkan.
Bincang dan dapatkan maklumat bersama supaya mereka tiada alasan untuk merungut kepada rakan mengenai percutian yang dianggap hanya idea ibu bapa mereka.
Anak juga perlu tahu batasan memilih destinasi dan aktiviti bersesuaian kerana sesetengah idea mereka mungkin tidak boleh diterima disebabkan kekurangan masa atau wang.
* Kenali destinasi terlebih dulu
Sediakan semua maklumat mengenai sesuatu tempat sebelum memulakan perjalanan dan jadikannya pengalaman interaktif antara ibu bapa dan anak.
Contohnya, jika menjelajah hutan rimba, bersedia untuk memberi penjelasan kepada anak mengenai jenis flora dan fauna yang bakal ditemui sepanjang jalan.
* Merancang atur cara perjalanan
Kanak-kanak mudah letih, oleh itu elakkan program perjalanan yang terlampau sibuk. Sebagai panduan, aturkan supaya terdapat keseimbangan antara masa aktiviti dengan masa berehat.
Jika mahu berjalan-jalan selama tiga jam, aturkan supaya ada masa rehat selama tiga jam.
* Berkemas awal
Elakkan berkemas pada saat terakhir kerana ia mendatangkan tekanan berlebihan. Apabila tarikh perjalanan sudah ditentukan, sediakan senarai dan mula mengemas.
Barangan yang akan membantu mengekalkan keadaan keluarga bersih dan sihat termasuk kain pembalut luka, ubat tahan sakit atau demam kanak-kanak, ubat nyamuk dan tisu lembap nyah-kuman.
* Utamakan keselamatan
Untuk anak-anak kecil, letakkan sekeping kad dengan nama, alamat dan nombor telefon bimbit ibu bapa atau penjaga ke dalam poket mereka.
Untuk kanak-kanak yang lebih tua, berikan mereka nombor hubungan ibu bapa atau penjaga serta nama hotel yang diduduki, sebagai persiapan jika mereka terpisah. Masukkan sekali gambar terkini mereka.
* Sediakan makanan dan minuman ringan.
Kanak-kanak yang lapar dan haus memang mudah meragam. Pastikan mereka makan sebelum perjalanan bermula dan minum banyak air sepanjang perjalanan.
* Berhenti untuk ke bilik air.
Dalam hutan rimba, kadangkala bilik air sukar didapati. Ketahui lokasi bilik air terdekat dan pastikan anak-anak kosongkan pundi kencing sebelum pengembaraan bermula.
Merancang percutian bersama keluarga kelihatan agak menyusahkan, tetapi sebelum membenarkan anak berdepan dengan televisyen atau menyertai kelas tuisyen tambahan, cuba pertimbangkan manfaat luar biasa yang boleh diperoleh daripada percutian di luar bandar yang mampu mendidik mereka, malah pengalaman sedemikian memang tiada bandingannya.
Percutian sedemikian boleh membina sikap ingin tahu. Anak-anak lazimnya akan
banyak menyoal dan harus disedari kanak-kanak yang mempunyai sikap ingin tahu yang kuat sememangnya anak yang bijak dan suka belajar perkara baru.
Ia juga boleh meningkatkan kebolehan menyesuaikan diri. Ketika bercuti, otak sentiasa cerdas supaya dapat menyesuaikan diri kepada perubahan pada saat akhir. Ini ternyata sikap yang cukup berguna ketika anak dewasa kelak apabila mereka berhadapan dengan masalah dalam kehidupan masing-masing.
Percutian juga mampu meningkatkan pengetahuan geografi. Mempelajari kebudayaan, ekonomi dan cara hidup masyarakat setempat lebih meninggalkan kesan daripada cuba menghafal fakta mengenai sesuatu lokasi.
Sedar atau tidak, percutian juga meningkatkan kefahaman diri. Seseorang yang mengalami tekanan biasanya akan menunjukkan belangnya. Tekanan daripada perubahan lokasi, cuaca, keletihan dan interaksi bersama orang lain akan membantu anak lebih memahami watak dan personalitinya sendiri.
Kanak-kanak yang menyedari mereka mempunyai kebolehan untuk meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan yang mencabar, amat membina keyakinan diri mereka.
Mereka berpeluang melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh rakan lain, seterusnya membantu untuk meningkatkan lagi harga diri dan membantu dalam apa saja yang bakal dilakukan pada masa hadapan.
Kaki melancong sering mengatakan bahasa tidak menjadi halangan. Mereka yang terdedah kepada kebudayaan, agama dan gaya kehidupan yang berlainan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain.
Lagipun, kita tidak perlu ke luar negara, memadai melawat negeri lain yang mempunyai loghat serta gaya hidup yang tersendiri di bumi Malaysia ini.